Teks Ucapan Encik Tan Tai Kim, Pengerusi Dong Zong

Teks Ucapan Encik Tan Tai Kim, Pengerusi Dong Zong Dalam Perjumpaan dengan YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Mengenai Isu Tulisan Jawi Dalam Pembelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan pada 15 Januari 2020

 

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)

Yang Berhormat Puan Fuziah Binti Salleh
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)

Datuk Ong Chiow Chuen,
Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong)

Wakil-wakil daripada pertubuhan-pertubuhan Cina dan India

Selamat petang dan sejahtera. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB menteri kerana sudi mengadakan perjumpaan dengan Pertubuhan-Pertubuhan Cina dan India pada hari ini, untuk membincangkan dan mencari cara penyelesaian terhadap isu tulisan jawi, demi menjaga keharmonian dan perpaduan negara.

Kepelbagaian adalah kekayaan dan keindahan ciptaan Tuhan, ia tetap diraikan oleh Dong Zong. Saya ingin menekankan bahawa Dong Zong tidak pernah menentang Tulisan Jawi, kami menghormati dan menyayangi Tulisan Jawi sebagai warisan Melayu, khazanah penting negara Malaysia. Dalam aktiviti-aktiviti silang budaya yang dianjurkan oleh Dong Zong, pelajar-pelajar pun berpeluang menghayati dan membelajari seni tulisan pelbagai kaum, termasuk Tulisan Jawi.

Namun begitu, dalam cara atau kaedah pelaksanaan Tulisan Jawi di sekolah, kami memang ada berbeza pendapat dengan Kementerian Pendidikan. Dong Zong memegang prinsip kepelbagaian, kami percaya perbezaan boleh diselesaikan dengan sesi dialog dan perbincangan yang rasional. Dalam isu Tulisan Jawi, kami menghormati pendapat lain dan sentiasa terbuka serta bersedia untuk perbincangan dengan mana-mana pihak.

Malaysia baharu semestinya bersifat inklusif, menyantuni, membuka dialog dan tidak memaksa. Kami berterima kasih kepada YB Menteri kerana menyediakan peluang yang amat penting untuk mendengar pandangan kami. Saya berharap melalui perbincangan dengen YB Menteri hari ini dapat mencapai persefahaman bersama yang kukuh demi kemajuan negara.

Sekian, terima kasih.

Tags: